Sedar tidak sedar, dari zaman sebelum merdeka lagi ekonomi negara kita telah diperkosa oleh golongan kapitalis yang terlampau. Sistem kapitalis ini telah dibawa oleh pihak British yang ketika itu begitu popular di Barat. Sejarah telah membuktikan yang pihak penjajah telah merompak segala hasil perut bumi di Tanah Melayu pada ketika itu, terutamanya bijih timah.
Selepas negara kita mencapai kemerdekaan, sistem kapitalis ini diteruskan lagi oleh golongan-golongan elit Melayu, Cina dan India ketika itu. Tiada bezanya dengan pihak penjajah, golongan ini menyambung apa yang ditinggalkan penjajah. Memang tidak dinafikan terdapat rancangan dan pelan-pelan pembangunan untuk memajukan negara pada ketika itu, namun sifat golongan elit yang memerintah ketika itu yang masih berkiblatkan barat maka kemajuan untuk diri sendiri lebih utama dari kepentingan negara. Tiada apa yang membezakan pemimpin dahulu dan sekarang, semuanya pentingkan kantung sendiri sahaja. Cuma yang bezanya sekarang keadaan terlalu kritikal, ditambah pula dengan pucuk pimpinan yang tidak mempunyai karisma, pandangan dan pengetahuan yang jitu, disokong pula oleh golongan pak turut yang takut dan mengiyakan segala-galanya.
Golongan 'Leaders N The Gangs' sekarang adalah kesinambungan dari geng-geng elit dahulu yang mengamalkan sistem kapitalis, malah lebih terlampau lagi. mereka menyapu bersih setiap peluang yang ada. Mereka berselindung dengan rancangan-rancangan dan projek-projek untuk kemajuan negara dan membantu rakyat. Namun sejauh mana ianya membantu rakyat?
Melihat kepada usia kemerdekaan negara kita dan dengan memiliki sumber asli seperti petroleum, adakah kemajuan negara kita setanding dengan jiran kecik kita Singapura? sedangkan kita terlebih dahulu mencapai kemerdekaan.( Perlu diingat Singapura dahulunya milik Malaysia ). Jangan dibandingkan negara kita dengan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Myammar kerana negara tersebut tidak stabil dari segi ekonomi dan politik sejak sekian lamanya. Namun ada juga pemimpin kayu sekarang yang mengatakan kita patut bersyukur dan bernasib baik kerana tidak menjadi seperti negara-negara tersebut. Sedangkan, kalau dilihat kepada sumber ekonomi dan kestabilan politik negara kita, Malaysia pada hari ini sepatutnya sudah setanding dengan Korea dan Jepun.
Kita rakyat Malaysia pada hari ini sepatutnya mempunyai taraf hidup yang lebih baik setaraf dengan negara-negara Asia lain yang maju. Rakyat Malaysia pada hari ini tidak sepatutnya dibebani dengan kanaikan harga yang melampau, boleh dikatakan hampir kesemua barang keperluan asas mengalami kenaikan. Memang sekarang kita mengghadapi Krisis Makanan Sedunia, tetapi mengapa rakyat negara kita melatah sampai terlompat-lompat akibat daripada kenaikan harga ini.( sekali lagi jangan dibandingkan dengan Indonesia dan Filipina meskipun rakyat kita lebih teruk dan tinggi lompatnya dari negara tersebut ). Kenapa rakyat Singapura, Jepun dan Korea macam biasa je? Bezanya pendapatan dan taraf hidup mereka lebih tinggi dan lebih bagus daripada rakyat negara kita, kalau adapun kenaikan harga barang, ianya tidak menjejaskan kehidupan mereka, mungkin juga kerajaan negara mereka lebih bijak mengurus dan mentadbir.
Bagi mereka yang tidak terasa dengan kenaikan harga barangan, belilah akhbar Bahasa Melayu yang banyak menyiarkan komen SMS pembaca. Kenapa akhbar Bahasa Melayu?. Golongan berpendapatan rendah kebanyakkan orang melayu dan baca akhbar Bahasa Melayu. Bagi mereka yang tidak merasai sangat kesan kenaikan harga, rasailah keperitan yang diluahkan oleh mereka yang berpendapatan rendah ini, bayangkan anda di tempat mereka.
Kepada mereka yang tidak tahu apa itu kapitalis, saya boleh membantu anda untuk menjadi kapitalis yang berjaya. Caranya mudah sahaja, jual tanah anda kepada saya, saya akan beli dengan harga semurah-murahnya, kemudian saya beli tanah jiran anda, juga dengan harga semurah-murahnya. bila tanah itu menjadi milik saya, kalau ada orang nak sewa atau beli, saya jual dengan harga semahal-mahalnya. kalau saya tidak jual, saya akan melabur dengan membina kilang, kemudian saya ambil anda atau anak anda yang jual tanah tadi bekerja di kilang saya dengan bayaran gaji yang serendah-serendahnya yang penting saya dapat untung semaksimun yang mungkin.
Sebenarnya, apa yang saya nyatakan di atas adalah realiti yang berlaku di negara kita pada hari ini. Sebagai contoh, mampukah anda beli rumah tanpa pinjaman bank dan harga rumah tersebut bukankah melampau sangat, sehingga anda mati pun belum tentu habis bayar. Tahukah anda berapa pemaju perumahan (developer) dan bank untung? Begitu juga bila anda beli kereta, kenapa perlu kita bayar dengan harga berkali-kali ganda berbanding harga kosnya, kualitinya?. Berapa gaji anak-anak kita bekerja di kilang dan berapa untung tahunan kilang tersebut? Apa faedah lain yang anak kita dapat selain dari gaji yang cipuk tu?
Memang agama Islam menggalakkan umatnya berniaga, kerana banyak sumber rezeki dari perniagaan, tetapi perlu diingat bahawa ianya menjadi haram jika mengambil keuntungan yang melampau sangat. Jelas sekali teori kapitalis meletakkan untung maksimun sebagai matlamat, kebajikan adalah perkara kedua malah tidak ada langsung dalam kamus kapitalis. Sampai bila kita rakyat Malaysia menjadi mangsa Kapitalis Terlampau ini.
Golongan kapitalis tidak ramai tetapi yang ramai adalah mangsanya. Bukan mudah untuk menjadi kapitalis tetapi mudah untuk menjadi mangsa kapitalis. Golongan kapitalis akan menyekat mangsanya untuk menjadi kapitalis, namun begitu apabila seseorang mangsa itu menjadi kapitalis, sifatnya lebih kejam daripada kapitalis sebelumnya.
Kita yang mengaku rakyat Malaysia biarlah sama-sama senang dan sama-sama susah. Kalau pemimpin senang biarlah rakyat pun sama senang. Kalau rakyat susah biarlah pemimpin pun sama susah. bukankah pemimpin itu dipilih oleh rakyat....






